"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

Ustaz Hanafi

Perlantikan Marwi TIDAK SAH


Rakaman Penyerahan Mandat Guru Utama antara Pak Ak dengan Md Radzi


Makan Malam Bersama Guru Utama


Khamis, 13 Disember 2007

Islam Terhina Di Malaysia

Islam Terhina Di Malaysia
Dunia akhir zaman semakin menakutkan bila
berkait dgn soal akidah. Nak jadi apa dah ni??
Patut laa ada yang kata tak nak ada anak.
Bukan takut nak beranak, tapi takut
ada anak yang terpesong akidah.. baik tak de langsung!!

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria bangkit dalam isu ini dengan
membuat
kenyataan akhbar bahwa umat Islam wajib isytihar perang terhadap
pertubuhan IFC itu dan minta 50 ahli politik Islam yang menurunkan
signature sebagai menyokong penubuhan IFC itu bertaubat kepada Allah swt
kerana dibimbangi aqidah mereka sudah terbatal [3]. Datuk Harussani juga
minta kepada semua penceramah, semua ustaz-ustaz yang mengajar
kuliah-kuliah dan semua khatib-khatib, supaya jangan lupa cakap benda ni
dalam kuliah-kuliah dan di atas mimbar-mimbar Jumaat bahwa pertubuhan
IFC ini adalah musuh Islam di M`sia.

Tuan-tuan tau depa minta apa kat PM?...Depa send memorandum kepada PM
minta 15 perkara berhubung dengan Islam supaya dimasukkan dalam
perlembagaan Malaysia.
Antaranya:
1) Setiap anak yang baru dilahirkan di Malaysia jangan dikaitkan dengan
mana-mana agama sehinggalah anak itu berusia 18 tahun - Tu dia
tuan-tuan.
Ini apa cerita ni? Maknanya, anak-anak kita langsung tidak boleh
dididikkan dengan cara Islam. Kita tak boleh bubuh nama Islam kat
anak-anak. Sampai umur 18 tahun, baru boleh duduk bincang di mahkamah,
tanya kat anak kita, "Hang nak ikut ugama apa?"...Kalau dia kata nak
jadi
hindu, maka jadi hindulah dia. Kita tak boleh nak buat apa sebab dah
digazetkan dalam Perlembagaan Negara.
2) Di dalam dokumen pengenalan mykad dan passport dihapuskan kolum
identiti agama - maknanya, perkataan "Islam" yang ada kat mykad kita itu,
depa
minta di"tiada"kan.
3) Mana-mana orang bukan Islam kalau nak kahwin dengan orang Islam, dia
tidak perlu masuk Islam.
4) Mana-mana orang Islam yang nak kahwin dengan orang bukan Islam ,
mestilah dia tukar agama kepada bukan Islam.
5) Sebagaimana kerajaan Malaysia menyalurkan dana kepada masjid-masjid,
begitu juga kerajaan Malaysia mesti menyalurkan dana kepada semua rumah
ibadat orang bukan Islam.
6) Peraturan sekolah yang mengizinkan anak orang Islam menutup aurat
hendaklah dimansuhkan , kerana ia menghina agama bukan Islam.
7) Hapuskan mahkamah syariah kerana ia juga menghina agama-agama lain -
mahkamah syariah kalau takdak, habih la kita tuan-tuan. Walaupun la ni
bukannya perfect, tapi itulah satu-satunya mahkamah yang defence agama
kita. Kalau mahkamah syariah disingkirkan, masalah faraid pusaka,masalah
nikah kahwin, cerai talak apa semua tu macamana?...Kalau takdak mahkamah
syariah, maknanya, perkahwinan tidak akan berjalan di atas akad nikah,
sebaliknya, perkahwinan akan dibuat secara berdaftar.
8) Mana-mana orang bukan Islam yang masuk Islam, semua hartanya
dikembalikan kepada waris yang tidak beragama Islam.
9) Mana-mana pasangan yang bukan Islam, apabila masuk Islam, maka hak
penjagaan anak tidak boleh diberikan kepada mereka.
10) Sebagaimana program-program di radio dan tv yang menerangkan tentang
ajaran Islam dalam bahasa ibunda masing-masing, begitu juga
ajaran-ajaran lain daripada Islam juga perlu diberi ruang.
11) Sepertimana Quran, hendaklah kerajaan Malaysia turut mencetak bible
dalam bahasa Melayu untuk diedarkan di seluruh negara.
12) Apa istimewanya Islam sehingga ditabalkan sebagai agama rasmi di
Malaysia ?
...lagi 3 ana tak ingat, antum boleh refer dalam majalah Millenium
Muslim.

Ini dia tuan-tuan, Islam diludah depan mata kita sendiri , so mana
sensitiviti kita terhadap agama kita sendiri?...Datuk Harussani tegur PM
dan 50 ahli politik Islam yang sokong pertubuhan tersebut supaya
dibatalkan pertubuhan itu. Tau 50 orang Islam tu kata apa?...Depa kata kat

Mufti Perak, "Ni lah kalau dah terlalu tua jadi mufti, tak open minded
langsung!"...Datuk Harussani balas dalam majalah "Millenium Muslim",
katanya, "Di atas sikap open-minded rakyat Malaysia yang terlampau lebih,

maka inilah hadiahnya!"...Ini dia kata-kata seorang ulama di Malaysia.
Yang
lainnya sunyi sepi termasuklah akhbar-akhbar, macam ada benda dalam mulut
sampai tak boleh nak buka!
-------------------------------------------------------------------------
[3] Kata al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya: "Sepertimana yang Tartar
berhukum dengan berteraskan sistem pemerintahan yang diambil daripada
raja
mereka Genghiz Khan yang telah mencipta untuk mereka undang-undang Yasak
yang merupakan sebuah buku menghimpunkan hukum-hakam yang diambil
daripada syariat yang berbagai, iaitu Yahudi, Nasrani, Islam dan
lain-lain.

Dalamnya juga banyak hukum-hakam yang diambil daripada fikiran dan hawa
nafsunya semata, lalu dijadikan undang-undang yang diikuti oleh anak
cucunya. Mereka mendahulukannya melebihi kitab Allah dan Sunnah
Rasulullah,
sesiapa yang berbuat demkian maka dia adalah kafir dan wajib diperangi
sehingga dia kembali kepada hukum Allah dan Rasulnya dan tidak berhukum
selain daripadanya dalam perkara kecil ataupun besar (rujukan tafsir
al-Quran al-'Azim oleh al-Imam Ibn Kathir jld. 2, m.s. 70. Cetakan
Beirut)

Allahu ta`ala `alam.
16 Februari 2006

**SAPA YANG BACA ARTIKAL NIE "DIWAJIBKAN" POST KEPADA SAUDARA MUSLIM
LAINNYA..
KERANA INI SEBAHAGIAN DARI JIHAD... SUPAYA SAUDARA MUSLIM KITA DAPAT
TAHU
TENTANG UNSUR-UNSUR MENGHANCURKAN ISLAM...

Hanya 2 Minit

Hanya Dua Minit

kalau anda fikir anda masih islam...
bacalah
Kalau anda pikir anda masih islam
bacalah...
kalau tidak......
Allah saja yang tahu...

Message: Tolonglah ambil masa 2 minit
untuk membaca ini....
kalau lebih dua minit tu bukan membaca
la tu..tapi mengeja.. Smiley

Dengan Nama ALLAH yg Maha Pemurah lagi
Maha Pengasih...

Bayangkan benda ini berlaku pada
anda..... Suatu hari pada masa
Sembahyang jumaat yang di hadiri oleh
lebih kurang 1,000 jemaah...
tiba-tiba masuk dua orang lelaki yang
menutupi seluruh tubuhnyer dgn pakaian
hitam.. tak nampak apa cuma dua biji
mata and membawa mesin gun... lalu
salah seorang lelaki tu bertempik "
"Sesiapa yang sanggup MATI kerana
ALLAH sila berdiri di tempat kamu"
Selepas mendengar amaran lelaki itu
maka segeralah bertempiaran lari para
jemaah itu utk menyelamatkan diri....
daripada jumlah yang 1,000 tadi tu
hanya tinggal lebih kurang 20 orang
sahaja yang masih berdiri di tempat
masing-masing termasuk Pak Iman tu...
Lelaki yang bertempik tadi segera
membuka tutup mukanya lalu melihat ke
arah Pak Imam sambil berkata: "Ok
Pak Iman, saya dah halau SEMUA yang
hipokrit, sekarang bolehlah Pak
Iman mulakan sembahyang Jumaat"....
Lalu kedua lelaki tersebut berpaling
dan meninggalkan jemaah....
Macammana.. adakah anda rasa lawak
dgn cerita di atas. selain terhibur
anda fikirlahlah. ..

" Lawak kan, dari 1,000 org yg mengaku
dia Islam hanya 20 yg betul-betul
beriman... "

" Lawakkan berapa banyak manusia yang
mudah lupakan ALLAH bila menghadapi
bahaya... kedua lelaki hanya membawa
mesin-gun.. dia tak kata pun nak
bunuh.. tapi generasi skrang..
amat lemah..baru kena ugut terus
lari lintang pukang.. lupa yg dia tak
sembahyang jumaat lagi..."

"Lawak, ada juga yang agamanya cuma
seminggu sahaja..tu pun bila time
sembahyang jumaat.. tunjuk muka kat org
kampung.. ada tu lagi dashyat setahun
2 kali aje.. bile time sembahyang
raya..."

"Lawakkan, ramai orang percaya kepada
gosip dan apa yang di tulis
oleh surat khabar daripada apa yang
tercatit dsalam al Quran"

"Lawak kan , berapa ramai yg percaya
dunia hanya sementara, akhirat
adalah tempat yang kekal, tapi
berlumba-lumba mengejar dunia"

"Lawak, kita boleh bersembang dgn
boyfriend atau girlfriend berejam-rejam
tapi nak berdoa kepada ALLAh alahai..
tak cukup masa..

Dan lebih lawak lagi, bila kita boleh
post banyak thread atau email
yang berunsur lawak jenaka dan lucah
kesemua tempat tapi merasa berat
nak berkongsi dan nak hantar artikel2
yang berunsur agama...

Lawak kan ???
Kenapa gelak??
tu kan realiti.. tapi
yg paling lawak sekali.. berapa orang
yang lepas baca benda ni akan
sampaikan kat orang lain... berapa
orang yang akan buka bulletin ni
untuk luangkan masa membaca?
berapa banyak????
wallahuaallam...

by sekadar_aku_yang_terluka

Isnin, 10 Disember 2007

Allah tidak jauh, doa sentiasa mustajab

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

praymosqueeid.JPGANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka.” (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya.” (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki.” (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka. Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan.

Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu. Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya. Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya)

Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya. Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung.

Firman Allah (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin. Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat.

Sabda Nabi s.a.w.:

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga. Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga. Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian. Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis. Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa.

Sabda Nabi s.a.w.:

Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.” (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.:

Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kitab nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/

Bersandarkan hanya kerana Allah

Hadith :

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:

Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.”

(At-Tirmidzi)

Huraian :

  • Sesungguhnya semua amal tergantung pada niat dan amal yang sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas (dan berterusan) adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi tidak ikhlas (dan tidak konsisten). **Bagaimanapun, jangan salah faham, kerana tidak ikhlas tinggalkan yang fardhu (wajib) pula, kerana fahaman itu bertentangan dengan ajaran al-Quran & as-Sunnah.
  • Sifat taqwa merupakan benteng yang menjadikan seseorang itu merasa dekat dengan Tuhannya tanpa mengira situasi apapun ia berada sama ada di dalam kelompok orang ramai atau bersendirian. Setiap perlakuannya dipersembahkan kerana Allah. **Untuk sampai ke tahap taqwa, memerlukan ilmu & mujahadah yang berterusan.
  • Seorang ahli hikmah berkata: Contoh orang yang beramal dengan riyaa’ atau sum’ah itu adalah bagaikan orang yang keluar ke pasar dan mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan semua orang yang melihat poketnya berasa kagum dan berkata: “Alangkah banyaknya wang orang itu.”, tetapi sebenarnya dia sama sekali tidak berwang kerana tidak dapat membeli apa-apa dengan batu tersebut tetapi hanya sekadar mendapat pujian orang semata. Demikian juga orang yang beramal dengan riyaa’ sum’ah, tidak ada pahalanya di akhirat kelak.
  • Ali bin Abi Talib r.a. berkata: “Tanda orang yang riyaa’ itu ada empat iaitu malas jika bersendirian, dan tangkas jika di hadapan orang, dan menambah amalnya jika dipuji, dan menguranginya jika dicela.”
  • Tanda-tanda keikhlasan iman kepada Allah itu banyak. Di antaranya ialah seseorang itu akan menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dilakukannya dan menangis kerana takutkan siksaan Allah. Dan seseorang itu akan berani dalam berjihad menegakkan agama Allah hingga sanggup menghadapi kecederaan malah menempuh syahid kerana Allah dan seseorang itu akan sabar dan tekun (khusyuk) dalam menjalankan ketaatan kepada Allah hingga terdapat kesan-kesan di dahi dan anggota badannya. Semua ini merupakan ciri-ciri orang yang benar-benar beriman di mana ganjaran daripada perbuatan tersebut amat besar pahalanya di sisi Allah SWT dan diberi ganjaran di hari akhirat kelak.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ahad, 9 Disember 2007

Merealisasikan konsep ‘tawasau bilhaq’

Ulul Albab:
Oleh Abdurrahman Haqqi

Masyarakat Islam seluruh dunia kena bersatu, saling berpesan pertingkat kebajikan ummah

SEPERTI dinyatakan Imam al-Tabrani bahawa Ubaidullah bin Hafs berkata:

“(Adalah menjadi amalan) Apabila dua sahabat Rasulullah SAW saling berjumpa, mereka tidak akan berpisah kecuali selepas masing-masing membaca surah al-`Asr kemudian mereka saling memberi salam.”

Imam al-Shafie juga pernah berkata:

Seandainya manusia memerhati dengan saksama (tadabbur) apa yang ada dalam surah ini (al-’Asr) maka ia sudah memadai untuk menjadi panduan hidup mereka supaya hidup selamat dan bahagia.” (Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, III/674)

Itulah satu daripada beberapa fadilat surah al-`Asr yang bermakna `Masa’ bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (1-3)

Imam Shafie benar dan sangat tepat merangkumkan surah ini dengan sifat yang demikian kerana kerugian manusia hanya boleh diubati dengan empat perkara dalam surah berkenaan iaitu iman, amal salih, saling berpesan dalam kebenaran dan kesabaran.

Satu pertanyaan, sebelum melanjutkan tulisan ini, yang boleh diketengahkan sempena riwayat al-Tabrani di atas adalah:

Adakah sahabat Baginda melakukan suatu bidaah dengan membaca surah al-`Asr ketika mereka akan berpisah?”

Bidaah membaca surah al-`Asr selepas mengadakan sesuatu majlis perjumpaan seperti mesyuarat dan pengajian yang biasa umat Islam di rantau ini pernah berlaku kepada penulis. Ketika itu beberapa sahabat dari negara Teluk menegur penulis kerana mengakhiri sesi mesyuarat dengan membaca surah al-’Asr seperti yang lazim kita lakukan dan mereka tidak lakukan di sana.

Tidakkah lebih baik membaca tasbih kaffarah al-majlis sebagai sunnah daripada membaca surah berkenaan,” kata mereka.

Menurut pandangan atau pendapat mereka, perbuatan itu adalah bidaah yang tidak pernah dilakukan Nabi. Penulis mendengarkan saja pandangan itu kerana memaklumi bahawa perbezaan pendapat dalam Islam adalah dibenarkan dan sehingga kini penulis tetap membaca surah al-’Asr apabila mengakhiri sesuatu majlis. Mereka ingin mempromosi pandangan mereka dengan menidakkan pandangan orang lain. Bukankah ini juga suatu bidaah, bahkan satu penyelewengan ajaran agama Islam yang suci, penuh kedamaian, saling menghormati dan bertimbang rasa, serta tidak memaksa kehendak sesuatu pendapat dalam arena ijtihad?

Kita kembali kepada surah al’-Asr khasnya syarat nombor tiga yakni ‘tawasau bilhaq’ jika kita ingin tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi. Saling berpesan dalam kebenaran ini tergambar dalam keberadaan umat Islam dengan bentuk khas, ikatannya yang istimewa, dan arahnya sama. Umat yang berasakan keberadaannya seperti mereka berasakan kewajipannya, mengerti hakikat sesuatu yang harus diutamakan, yang bersumber daripada iman dan amal salih, yang meliputi masalah kepemimpinan manusia pada jalan iman dan amal salih, kemudian saling menasihati dengan nasihat yang dapat membangkitkan semangatnya untuk memegang amanah terbesar.

Daripada perkataan `tawasi’, saling berpesan menerusi makna, tabiat, dan hakikatnya, menggambarkan umat yang harmoni dan saling bertanggungjawab. Umat pilihan, umat yang baik, umat yang penuh pengertian, umat yang bermutu di muka bumi dengan berpegang dan menegakkan kebenaran, keadilan dan kebaikan. Ia adalah gambaran paling tinggi dan paling indah bagi umat pilihan. Demikianlah yang dikehendaki Allah daripada umat Islam. Ia menghendaki umat Islam sebagai umat terbaik, kuat, penuh pengertian, cekap, sensitif terhadap kebenaran dan kebaikan dan saling menasihati untuk mentaati kebenaran, yang dilakukan dengan penuh kasih sayang, penuh solidariti, tolong-menolong dan penuh rasa persaudaraan, yang selalu disiram dengan kata ‘tawasi’ dalam al-Quran.

Ajaran ‘tawasau bilhaq’ yang ditekankan al-Quran ini diingatkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada awal minggu ini. Ketika memberi ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Deklarasi Makkah Isnin lalu, beliau berkata: ”Banyak deklarasi serius sebegini menjadi lapuk dalam lipatan sejarah kerana semangat untuk melaksanakannya lemah dan langkah susulan semakin mengendur… Deklarasi Makkah tidak patut menemui nasib yang sama.”

Perdana Menteri berkata demikian kerana memandangkan selepas hampir 20 bulan penerimaan Deklarasi Makkah pada Disember 2005, negara Islam masih tidak dapat bergerak melepasi peringkat persediaan perancangan dan penyelarasan.

Pada 7 hingga 8 Disember 2005, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang Malaysia menjadi Pengerusinya mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC kali ketiga di al-Safa Palace, di tepi Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi.

Pada sesi penutupan sidang kemuncak luar biasa itu, Setiausaha Agung OIC, Profesor Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, Deklarasi Makkah yang diluluskan pemimpin Islam itu antara lain menyentuh cadangan memperkenalkan undang-undang antikeganasan di negara Islam dan menghapuskan Islamofobia (ketakutan terhadap umat Islam). Ia juga menyentuh soal pendidikan; pengeluaran fatwa; isu Palestin dan Baitulmaqdis; meningkatkan imej Islam; mengukuhkan perpaduan dan kesatuan; keganasan dan kekerasan di Iraq; isu pergolakan dan kekejaman di Kashmir, Somalia, Armenia dan Azerbaijan serta Cyprus dan Turki; selain menghapuskan kemiskinan, penyakit dan buta huruf.

Turut diluluskan ialah cadangan penubuhan badan bebas untuk membantu negara anggota merealisasikan agenda hak asasi manusia di negara Islam. Pada sidang kemuncak itu, Turki turut mencadangkan supaya diadakan persidangan mengenai wanita yang sering menjadi isu di kalangan negara Islam. Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu dirasmikan penutupannya oleh Raja Abdullah Abdul Aziz.

Pada forum tiga hari bertemakan Melaksanakan Agenda Ekonomi Dunia Islam yang dianjurkan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan dihadiri kira-kira 84 cendekiawan Islam dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat dan United Kingdom itu, Perdana Menteri mencadangkan lima perkara asas iaitu mengekalkan semangat politik secara kolektif; memulakan pembaharuan dalam fikiran dan hati; mengiktiraf kepentingan pembangunan modal insan; memperuntukkan sumber yang diperlukan; serta menggerakkan komuniti antarabangsa dan bekerjasama dengannya bagi meningkatkan kebajikan ummah. “Sudah tiba masanya negara anggota OIC memainkan peranan aktif mereka dan terus komited dalam jangka panjang,” tegasnya.

Seorang pemikir dan pendakwah Islam terbilang masa kini dan adalah satu-satunya Muslim bukan-Arab yang menganggotai akademi Bahasa Arab berprestij di Syria serta penulis buku Maza Khasira al-’Alam bi Inkhitat al-Muslimin (Apa yang dirugikan dunia dengan kemunduran umat Islam), Abul Hasan an-Nadawi berkata, “Kaum muslimin sudah lahir dan memimpin dunia serta melepaskan bangsa yang tertipu daripada kepemimpinan manusia yang mengeskploitasi dan bertindak buruk terhadapnya, dan mereka memandu manusia untuk menempuh jalan kehidupan dengan cepat, seimbang dan adil.”

Banyak sifat yang mereka miliki yang menjadikan mereka layak memimpin bangsa ini serta dapat menjamin kebahagiaan dan keberuntungan mereka di bawah naungannya dan di bawah kepemimpinannya :

  • Pertama, mereka memiliki kitab dan syariat yang diturunkan dari Tuhan. Maka mereka tidak membuat undang-undang dan syariat berdasarkan keinginan hawa nafsu, kerana nafsu itu adalah sumber kejahilan, kekeliruan dan kezaliman.
  • Kedua, mereka tidak mengendalikan pemerintahan dan kepemimpinan tanpa pendidikan akhlak dan membersihkan jiwanya.
  • Ketiga, mereka bukan pelayan suku tertentu dan bukan utusan bangsa atau negeri tertentu, yang mengusahakan kemakmuran dan memenuhi kepentingannya saja dan bukan hanya untuk mengamankan kelebihan dan keunggulannya atas bangsa dan negara lain. Mereka hanya ditugaskan untuk membebaskan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah.
  • Keempat, tidak akan dijumpai tamadun yang baik dan salih, kecuali bila dibimbing oleh keseimbangan beragama, moral, fikiran dengan fisik, yang dengannya manusia dapat dengan mudah mencapai kesempurnaan kemanusiaannya.”

Perdana Menteri pada forum yang sama membayangkan kembali umat Islam supaya menjadi seperti yang disebutkan An-Nadawai yang menyeru negara anggota OIC memperkukuhkan hubungan dan mengetepikan perbezaan antara mereka serta bersatu dalam bidang intelektual dan ekonomi.

Selepas beratus-ratus tahun berhadapan dengan kemunduran, umat Islam perlu bersedia untuk melaksanakan usaha luar biasa dalam meningkatkan kesejahteraan ummah,” katanya.

Seruan demi seruan dikumandangkan dalam pelbagai perhimpunan demi maruah umat. Gesaan demi gesaan dibuat dalam setiap persidangan demi memartabat semula umat. Doa demi doa dipanjatkan dalam setiap kesempatan demi keselamatan umat. Tetapi, belum satu pun hasil yang nampak dengan jelas oleh kita. Maka, demi mengamalkan konsep ‘tawasau bilhaq’ mungkinkah kita masih termasuk dalam golongan yang disebutkan Baginda Rasulullah SAW maksudnya:

Hampir tiba suatu masa di mana bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati“. (Hadis riwayat Abu Daud)

La haula wala quwwata illa billah.

Tanggungjawab membela agama, bangsa perlu diutama

Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya

RISALAH Islam lahir membawa idealisme kebebasan menyeru kepada kemerdekaan manusia. Hal ini jelas tersirat dalam ucapan utusan Duta Islam yang membawa watikah kepada Panglima Maharaja Parsi, Rustum.

Islam menyeru umatnya berlaku adil sesama manusia terhadap musuh. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memanggil anak Gabenornya, Amru bin al-’Ash ketika itu menjadi Gabenor di Mesir, selepas seorang pemuda Mesir mengadukan perihal kezaliman putera ‘Amru yang memukulnya dengan sebatang kayu.

Pemuda itu mengadu: “Aku mengadakan perlumbaan dengan anak ‘Amru dan aku memenangi perlumbaan itu tetapi dia memukulku sambil berkata: ”Aku adalah anak orang yang paling mulia.”Akhirnya Khalifah menyuruh pemuda Qibti bangsa Mesir itu membalas pukulan sebagai qisas kepada anak gabenor ‘Amru bin al-’Ash itu.

Umar mengherdik anak itu dengan berkata: ”Pukullah anak orang yang paling mulia ini. Sejak bila kalian memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan dalam keadaan merdeka?” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Pembohongan sejarah ditulis orientalis berusaha merosakkan imej Islam dengan pandangan bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Padahal peperangan berlaku itu adalah semata-mata gerakan defensif selepas kegagalan dakwah serta ancaman musuhnya.

Sudah menjadi Sunnatullah, bangsa pernah lahir di atas bumi ini silih berganti hilang dan timbul. Sesama manusia saling menumpahkan darah untuk mendapatkan kekuasaan dan kekayaan.

Alangkah buruknya pandangan yang mengheret Islam bersama dalam kezaliman dan kebuasan perbuatan sesetengah penganut yang tidak memahami ajarannya yang suci.

Jangan babitkan golongan radikal Muslim dengan Islam. Mereka mempunyai kepentingan peribadi menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita dengan mengorbankan agama, bangsa dan negara sendiri.

Umat Islam sepatutnya menyedari bahaya mengancam mereka. Sampai bila penjajahan tetap ada. Peperangan sengaja dicetuskan atas kepentingan ekonomi. Dengan konspirasi penjenayah perang menguasai dunia saat ini, ramai mangsa terkorban, banyak negara porak-peranda, politik dikuasai anasir jahat hingga memecah perpaduan.

Sesungguhnya memerdekakan bangsa dalam konteks membina sebuah kedaulatan bukanlah mudah, apatah lagi menanam patriotisme yang selari dengan ajaran Islam di hati generasi muda. Selagi mereka tidak menjadikan agama dan bangsanya sebagai tanggungjawab bersama, mereka akan mudah dijajah.

Kesedaran untuk membela agama dan bangsa ini sepatutnya berakar sebagai satu akidah, kerana Rasulullah menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud:

Seseorang datang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah insan yang paling utama? Sabda Rasulullah SAW: Orang mukmin yang berjuang dengan harta dan jiwanya fisabilillah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Suatu ketika dua sahabat alim, warak lagi zuhud berpisah disebabkan pandangan berbeza mengenai tanggungjawab berjihad. Yang satu mempersiapkan bekalannya menuju medan perang bergabung bersama tentera kaum muslimin di sempadan negara.

Sahabatnya pula memilih untuk menyendiri di tempat ibadatnya, memperbanyak munajat kepada Allah. Suatu hari dia menerima sepucuk surat daripada sahabatnya yang menegur keutamaan yang silap dan sikapnya mementingkan ibadat peribadi, sedangkan mempertahankan maruah dan kemerdekaan negara adalah lebih besar dan utama.

Akibat rasa bersalah, dia pun turut kembali ke medan jihad meninggalkan tempat ibadatnya bagi mendahulukan kepentingan jihad untuk negara.

Bagaimana Islam akan menang jika umatnya masih memiliki kepentingan peribadi yang merugikan agama, bangsa dan negara. Dr Yusuf Al-Qardawi menyenaraikan sebab jatuhnya suatu bangsa dalam kitabnya Al-Islam Hadharatul Ghad, antaranya; Sikap menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, mengikuti perintah penguasa yang zalim, melakukan kezaliman terhadap orang miskin, melakukan jenayah kotor dan keji seperti kaum Nabi Luth dan kemungkaran dibuat secara terang-terangan dan sedikitnya usaha untuk menghentikannya.

Sejarah memiliki mesej tersendiri. Supaya anak bangsa ini tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan bangsa yang pernah bertakhta di dunia.

- Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.

Jumaat, 7 Disember 2007

Perjuangan, keikhlasan dan kemenangan

Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

Puasa banyak mendidik kita soal keikhlasan. Seseorang mungkin bersolat secara tidak ikhlas atau ingin menunjuk. Namun, sukar untuk orang yang berpuasa secara benar tanpa keikhlasan atau ingin menunjuk.



Jika tidak ikhlas tentu dia akan berbuka ketika orang lain tidak nampak. Namun jika dia berpuasa sepanjang hari dengan tidak merosakkannya, tanpa paksaan, dia mempunyai kejujuran. Maka dalam hadis kudsi, Allah berfirman: Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya (riwayat al-Bukhari). Puasa mampu mendidik kita jujur dan ikhlas. Namun, ikhlas walaupun ringan di lidah, amat berat untuk penghayatan. Betapa ramai yang menyebut saya ikhlas, namun dia belum tentu ikhlas. Jika semangat puasa tidak dibawa keluar mengiringi kita di luar Ramadan, pastilah nilai-nilai hipokrit memenuhi ruang kehidupan kita.

Pada akhir Ramadan baru-baru ini saya menyertai Raja Muda Perlis dan Menteri Besar Perlis bersama rombongan melawat kem-kem tentera kita di sempadan Sarawak-Indonesia. Ini adalah acara tahunan bulan Ramadan kepimpinan negeri Perlis. Sebelum ini banyak tertumpu di Sabah. Program tersebut selain menghulurkan bantuan, juga bertujuan menggambarkan rasa prihatin serta menimbulkan keinsafan kepada ahli rombongan terhadap pengorbanan angkatan tentera. Mereka telah hidup dalam keadaan yang sukar bagi membolehkan orang lain hidup tenteram. Demikian sifat setiap pejuang. Mereka rela berkorban dan terkorban demi memastikan kebaikan diperoleh oleh orang lain.

Melihat mereka, saya insaf. Mereka merentasi hidup sepanjang hari dalam keadaan yang tidak selesa. Meninggalkan keluarga dan kemeriahan hidup di tengah desa atau kota. Sedangkan ramai yang di luar sana bergembira dan berpesta sehingga terlupa mengingati pengorbanan mereka. Atau seakan berasa keamanan yang dikecapi adalah percuma yang terhasil kerana duit dan harta. Padahal mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa di sana ada insan-insan yang bertarung nyawa untuk membayar harga keamanan ini. Sebab itu untuk para perajurit, jika mereka berjuang untuk gaji bulanan semata, itu satu kesilapan kerana jumlah gaji seperti mereka boleh diperoleh tanpa perlu mengorban kesenangan dan nyawa sedemikian rupa. Jika mereka berjuang untuk dikenang, mereka juga silap. Manusia sebenarnya ramai yang tidak mengenang budi. Bukan sekadar seorang tentera, pemimpin ternama lagi berjasa pun, jika hilang kuasa, ramai yang akan lupa. Harta dan kerakusan hidup lebih bermaharajalela Apa yang hendak dihairankan jika manusia melupai jasa sesama manusia, sedangkan kepada Allah pun ramai tidak bersyukur kepada-Nya. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurnia-Nya kepada umat manusia tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur. (Surah al-Naml: 73).

Jasa

Sebab itu sesiapa yang berbuat jasa agar tidak dilupai, dia mungkin kecewa pada akhir hayatnya. Namun yang berbuat jasa kerana Allah Yang Maha Esa lalu mengharapkan ganjaran-Nya tidak akan merana jiwa. Biarlah manusia melupakan, namun Tuhan tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya yang jujur. Maka seorang pejuang mestilah terlebih dahulu membetulkan titik tolak ini dalam hidupnya. Nabi s.a.w. apabila ditanya: "Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jika titik tolak ini tidak dibetulkan, hidup kita akan dipenuhi kekecewaan. Seperti seorang ibu atau bapa jika dia membesarkan anak hanya kerana inginkan jasa dikenang, tentu dia akan kecewa, jika yang berlaku sebaliknya. Namun, jika pada awal lagi dia merasakan membesarkan anak dengan penuh tanggungjawab adalah perintah Allah yang mesti ditunaikan, maka apa pun yang berlaku, perasaan kecewa dapat diringankan. Walaupun tidak dinafikan perasaan keinsanan itu tetap akan mengguris kalbu. Namun mengingati keadilan Allah dapat merubat jiwa yang parah.

Justeru, bagi para pejuang umat, atau pemberi sumbangan jasa kepada umat manusia, ubat paling utama untuk dibekalkan dalam jiwa adalah keikhlasan dengan mengharapkan pahala dari Allah dalam semua gerak kerja. Jika tidak kita akan menjadi seperti ulama-ulama pengampu yang berjuang untuk pangkat, nama dan perdampingan dengan orang besar. Apabila semua itu hilang, bicara kekecewaan kedengaran. Mereka bagaikan 'kupang temaga' yang tidak ingin dikutip oleh sesiapa, kerana agenda mereka adalah keredaan manusia. Jika ada yang mempunyai nilai hipokrit yang sama, mungkin mereka mempunyai ruang berkongsi kepentingan.

Demikian juga orang-orang politik, yang kecewa kerana jasa mereka tidak disebut orang. Mereka membawa hati yang gundah dan resah. Jika mereka menjadikan seluruh perjuangan itu ibadah kepada Allah, pasti mereka tidak akan kecewa terhadap Allah. Firman Allah: (maksudnya) Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar (surah al-Baiyyinah: 5). Firman-Nya juga: (maksudnya) Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan. (Surah al-Taubah: 105).

Perjuangan pula selalu menuntut pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak dinamakan perjuangan. Maka bagi saya, wakil- wakil rakyat yang menjadikan kerusi mereka untuk menambahkan kekayaan tidak layak mendabik dada pada hari kemerdekaan sebagai pejuang rakyat. Para pejuang melakukan agenda perjuangan tanpa kepentingan. Saya menghormati usaha Menteri Besar Perlis apabila mengumpulkan ribuan rakyat saban malam pada bulan Ramadan dan mengajar mereka agar membetulkan solat dan kefahaman agama. Itu sebagai agenda utama tahun ini. Saban malam saya terpaksa berceramah untuk puluhan ribu rakyat Perlis dan luar Perlis sejak awal Ramadan sehingga ke akhirnya. Mereka diberikan sumbangan namun terlebih dahulu mestilah mendengar penjelasan mengenai hakikat Islam. Membetulkan solat sekalian rakyat, tidak memberikan faedah kewangan dan politik. Namun ia mempunyai nilai besar di sisi Allah. Jika ada pemimpin politik yang memikir soal solat dan kefahaman agama rakyatnya, ini amat dihargai di zaman ini. Orang politik jika semua gerak kerja hanya memikirkan kepentingan pilihan raya, maka rakyat akan rosak. Mereka mungkin mengutamakan perkara yang tidak utama dan membelakangkan perkara yang utama hanya kerana politik pilihan raya. Itu bukan perjuangan rakyat dan umat, sebaliknya perjuangan politik kepartian atau peribadi. Bukan politik untuk rakyat, tetapi rakyat dipolitik untuk kepentingan sendiri.

Sama juga, tanpa kejujuran niat, maki hamun orang semasa kempen politik pun dibuat atas nama agama. Saya pernah bertanya mereka yang bermazhab 'suka memaki orang apabila berceramah': Jika Rasulullah masih hidup dan melihat anda berceramah politik agama seperti ini, adakah anda rasa baginda bangga dan memuji makian anda? Atau baginda akan berkata: Ini bukan caraku. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Bukanlah Nabi s.a.w. itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain.” Namun apabila kepentingan mengatasi kejujuran, agama yang murni dijadikan sandaran untuk cercaan.

Perjuangan umat hendaklah bebas dari ini semua. Perjuangan adalah ketulusan dalam melakukan pengorbanan. Dalam bulan Ramadan yang baru dua hari kita meninggalkannya, banyak mendidik kita erti perjuangan. Malangnya, belum pun Ramadan bermula, media dan iklan mengajak kita beriang-ria pada hari raya. Seakan pemergian Ramadan begitu diharapkan. Maka masyarakat lebih sibuk bersiap menyambut hari raya dari bersiap memenuhi erti Ramadan. Memang benar hari raya adalah hari kegembiraan. Namun ia datang setelah kita merentasi Ramadan dengan kejayaan. Kita merayakan hari raya atas arahan Allah: (maksudnya) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah mengehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengehendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185). Maka hari raya hari membesarkan Allah dan hari kegembiraan. Orang bukan Islam boleh berkongsi kegembiraan dengan kaum muslimin, tetapi bukan berkongsi hakikat hari raya yang merupakan syiar dan perintah ibadah agama kepada kita.

Kekuatan

Nabi bersolat hari raya di tanah lapang seperti disebut dalam hadis-hadis. Supaya memperlihatkan syiar kekuatan dan kemenangan buat umat ini. Justeru itu, semua insan muslim disuruh menghadiri perhimpunan solat hari raya baginda, termasuk anak dara dan wanita haid. Kata Umm Atiyyah: “Rasulullah memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin.” (riwayat al-Bukhari). Inilah kebaikan solat di tanah lapang. Membolehkan semua pihak menyertai dan lebih meriah serta menggambarkan kekuatan hubungan dan perpaduan kaum muslimin. Namun apabila kita yang meninggalkan sunah ini, ramailah yang tidak dapat menyertai perhimpunan hari raya yang penting itu terutamanya kaum wanita. Satu perkara yang patut diberikan perhatian, hari raya kita selalu digambarkan dengan hari kesedihan bukan kemenangan. Media hiburan turut menggembar-gemburkan keadaan itu. Maka hari raya asyik dikaitkan dengan air mata. Memang, kesedihan kadangkala hadir tanpa diduga. Atau keadaan tertentu menyebabkan kesedihan. Namun mewujudkan suasana dan irama sedih tidak sepatutnya disengajakan dalam menyambut hari raya. Sehingga takbir pun dengan nada kesedihan. Sepatutnya dengan nada yang bersemangat kemenangan.

Peperangan Badar adalah peristiwa penting bulan Ramadan. Tiga ratus tiga belas atau beberapa – ahli sejarah berbeza pendapat – tentera muslimin dapat mengalahkan seribu lebih tentera musyrikin. Namun saya suka melihat di sudut yang lain. Dalam peperangan Allah menyebut: (maksudnya): (ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu: Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. (Surah al-Anfal: 9).

Cubalah bayangkan jika 1,000 malaikat bertempur dengan 1,000 tentera musyrikin. Berapa ramai tentera musyrikin yang akan maut? Sudah pasti kesemua mereka. Bahkan akar umbi tentera mereka di Mekah juga akan hancur. Namun hal ini tidak berlaku. Empat belas tentera muslimin syahid, 70 tentera Quraisy mati dan 70 ditawan. Sebabnya, kedatangan malaikat adalah bagi memberikan ketenangan dan bantuan memastikan kemenangan. Namun kemenangan hakiki tidak berlaku secara percuma. Pertolongan Allah disukat dengan kadar kesungguhan dan usaha. Kemenangan yang diberikan Allah mestilah berlaku dengan usaha orang Islam sendiri. Jika itulah peristiwa Badar yang Nabi dan malaikat turut serta, tidak diberikan kemenangan percuma melainkan dengan usaha dan pengorbanan. Adakah umat Islam hari ini boleh memartabatkan kembali maruah umat dengan hanya mengeluarkan air jampi atau berdoa semata tanpa usaha pada tahap yang dituntut? Ini mustahil. Firman Allah: (maksudnya) Wahai orang- orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah nescaya Allah menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad: 7). Oleh kerana kita tidak menolong agama Allah dalam erti kata yang sebenar, maka kita tidak ditolong dalam mencapai kemenangan.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

Fanatik Dan Taksub Kepada Guru

Fanatik Dan Taksub Kepada Guru

Oleh : Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Hj. Abd. Majid

Pendahuluan

Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw atau tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.

Al-Wasat atau al-I'tidal adalah satu paksi yang telah membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri al-wasat itu, maka umat Islam terdedah kepada penambahan dan tokok tambah atau sebaliknya pengurangan. Penambahan atau pengurangan ini adalah menjadi salah satu punca perpecahan umat Islam. Soalnya bagaimana satu umat itu boleh maju ke hadapan apalagi boleh memimpin umat Islam jika mereka sendiri berpecah belah. Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik sesama sendiri dan hilang kesederhanaan kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama tarekat atau sebagainya.

Pengertian

Fanatik bermaksud; sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. la disama ertikan dengan taksub. Lawan bagi fanatik dan taksub ialah tasamuh dan toleransi; yang bermaksud lapang dada, luas fikiran dan sabar.

Melampau-lampau diistilahkan dengan al-ghuluww, al-tanattu' dan al-tashdid. Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana. Maksud firman Allah:

Maksud: "Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu".

(Surah al-Baqarah 143)

Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahu pun guru atau kumpulan adalah salah satu dari gejala melampau. la memberi gambaran kebekuan fahaman seseorang yang tidak mahu melihat maslahah ummah dan tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, bagi mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.

Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat darinya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan. Ijmak semua ulama salaf dan khalaf, semua orang boleh diambil dan ditinggal pendapatnya melainkan Nabi s.a.w.

Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bid'ah, kufur dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah S.W.T., mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.

Fenomena ketaksuban juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad dan kufur.

Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap prasangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam.

Golongan di atas sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu. Saidina Abu Bakar r.a. memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu mereka hanya perlu melakukan amr bil maaruf wa nahyu anil munkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya.

Larangan

Beberapa maksud hadis cukup menjelaskan bahawa Islam tidak suka apa juga perkara yang melampau-lampau. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

'Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama'.

Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

'Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar ...'.

(Riwayat Bukhari dan Nasaai)

Sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah S.W.T. terhadap umat yang dahulu khasnya Ahli Kitab. Firman Allah:

Maksud: "Katakanlah, "Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul".

(Surah al-Ma'idah:77 )

Antara perkara diingkari ialah bersikap keras bukan pada tempat dan masanya. Sikap melampau diistilahkan dengan al-ghuluww, al-tanattu' dan al-tashdid. Sikap ini adalah bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti yang dituntut oleh Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud:

Maksud: "Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu".

(Surah al-Baqarah 143)

Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz'i. Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu'. Allah memerintahkan hambaNya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud Firman Allah S.W.T.:

Maksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk".

(Surah an-Nahl 125)

Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang. Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh. Ini dijelaskan melalui Firman Allah S.W.T.:

Maksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu, dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolongan)".

(Surah al-Taubah 123)

Punca sikap taksub

Sikap taksub ini kadangkala berlaku sebagai reaksi kepada masyarakat Islam yang membenarkan kemungkaran berleluasa. Dalam erti kata lain, Islam yang ada telah bercampur dengan kesyirikan akidah, bid'ah dalam ibadah. Kejumudan fikiran, mendatar dalam fahaman, mencari yang payah dalam fatwa dan keras dalam pergaulan, juga boleh menyuburkan sikap fanatik. Fenomena ini boleh menyebabkan ternafinya pembaharuan dan ijtihad dalam hukum.

Contoh-contoh dalam masyarakat

Kes Pertama :

Tarekat Naqsyabandiyah AI-Khalidiyyah di Malaysia. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh seorang calon Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia, pada 2002; sebelas perkara yang menjadi asas tarekat tersebut: Antara yang penting dalam konteks ini ialah:

i. Husy dar dam; bermaksud akal dalam nafas atau diertikan dengan sedar sewaktu bernafas. Konsepnya ialah latihan penumpuan konsentrasi sufi yang berkaitan usaha menghadirkan hati berserta Allah. la dipercayai memberi suatu kekuatan rohaniah dan membawa seorang pengamal tarekat itu hampir kepada Allah, la juga bermaksud memelihara nafas dari sebarang kelalaian ketika nafas masuk dan keluar. Amalan ini bertujuan memelihara hati supaya tidak lalai dari mengingati Allah serta sentiasa menghadirkan diri berserta Allah pada setiap kali nafas masuk dan keluar. Bagi orang tasawuf mereka menganggap perkara sebegini bukanlah sukar bagi mereka yang sudah ditarbiah oleh guru mursyid.

ii. Nazar bar Qadam: la bermaksud menjaga langkah. Sewaktu berjalan, murid hendaklah menjaga langkahnya, demikian juga sewaktu duduk dengan memandang lurus ke hadapan kerana pemandangan di sekeliling itu adalah mengganggu tumpuan atau konsenterasi seseorang dari amalan kerohanian.

iii. Safar dar Watan: Salah satu tafsirannya ialah perjalanan fizikal melintasi suatu negeri untuk mencari mursyid sejati bagi memimpin diri murid ke jalan sejahtera, malah sebagai perantaraan hubungannya dengan Allah. Konsep ini amat penting kerana murid ingin mencari seorang mursyid yang dapat membimbing dirinya ke jalan kebenaran Ilahi. Guru mursyid dianggap memiliki kesempurnaan ilmu dan amal di dalam membimbing murid mencapai malakah al-hudur yakni sentiasa mengingati Allah.

Konsep lain ialah Khalwat dan Anjuman, iaitu menyepi diri dari tengah khalayak, sama ada dengan beruzlah atau beriktikaf. Konsep Yad Kard iaitu zikir berulang-ulang sama ada menyebut Allah, Allah... atau nafi-ithbat iaitu La ilaha illa-Allah.

Kenyataan di atas menunjukkan bahawa dalam ajaran tarekat, banyak perkara tambahan yang mereka dakwakan sebagai ajaran Nabi, tetapi adakah dakwaan mereka benar?. Anggota tarekat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah percaya ajaran yang mereka amalkan bersumberkan ajaran Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda bertahannuth di gua Hira'. Khalifah Lebai Ishak bin 'Arif dari Negeri Pahang yang menjadi khalifah (mursyid) di Raub berkata: "Tidak syak lagi bahawa ajaran dan amalan Tarekat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah adalah berpunca dari amalan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah menerima wahyu pertama dari Allah S.W.T. iaitu firman Allah dalam surah al-'Alaq dari ayat 1 hingga ayat 5".

Kelima-lima ayat itu dianggap dasar atau dalil menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menerima wahyu tersebut sebagai tanda amalan dengan ism dzat yakni Allah, Allah... diterima dari Jibril dan Jibril menerima dari Allah S.W.T.. Justeru itu bagi mereka, tarekat mereka pada asalnya bernama Tarekat Muhammadiyah. Sesudah diajar dan djijazahkan oleh nabi kepada Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq maka dinamakan pula Tarekat al-Siddiqiyyah. Demikian seterusnya sampai nama itu berakhir kepada Baha'uddin al-Naqsyabandi. Ahli tarekat ini beranggapan bahawa nama al-Naqsybandiyyah bukanlah sengaja diletakkan untuk mencari kehormatan di dunia, tetapi sebagai menghormati usaha yang dilakukan oleh mujaddid Baha'uddin al-Naqsyabandi yang memper-kenalkan tiga perinsip utama dalam zikir tarekat iaitu wuquf qalbi, wuquf 'Adadi dan wuquf Zamani.

Ajaran tarekat ini juga mensyaratkan, jika anggotanya ingin mencapai suatu peningkatan dalam memelihara zikir, maka hendaklah memasuki suluk. Tanpa bersuluk, pelajar hanya sekadar boleh berzikir pada tahap asas iaitu Allah, Allah ... sebanyak 5,000 kali. Apabila bersuluk serta memahami peraturan dan syarat dan mengamalkannya seperti tidak boleh makan daging selama tempoh menjalani suluk 10 hari minimum atau 20 hari, 30 hari dan 40 hari maksimum.

Sewaktu bersuluk, murid diminta melepaskan semua ingatan kepada perkara keduniaan dengan memberi perhatian kepada zikir semata-mata. Malahan makanan mereka yang bersuluk, disediakan oleh pihak lain. Dua persoalan di sini iaitu larangan makan daging dan tidak perlu menghadiri sembahyang Jumaat.

Isu yang berkaitan langsung dengan taksub kepada guru ialah adanya rabitah iaitu mund menambatkan hatinya dengan syeikh yang Kamil (sempurna). Syeikh yang roh dan hatinya mencapai maqam musyahadah dan tahqiq dalam hatinya, berbagai sifat zat yang dinisbahkan kepada zat Allah tanpa kaif dan tanpa kaifiat. Abdul Ghani al-Nabulsi berkata rabitah ialah rasa kasih sayang yang amat mendalam dari murid kepada syeikhnya sehingga hatinya sentiasa berhubungan dengan syeikhnya dalam apa juga keadaannya.

Kesimpulan dari konsep rabitah ini dapat dirumuskan empat perkara:

i. Kasih sayang murid amat mendalam terhadap syeikh

ii. Ikatan ini menjadikan murid sentiasa ingatkan syeikhnya

iii. Kasih sayang dan ingatan menghasilkan bayangan syeikh dalam khayalannya

iv. Seorang syeikh sudah sampai maqam musyahadah dan bersifat karamah.

Kes Kedua :

"Ajaran Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman, didapati menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman di mana jua berada, hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH subhanahu wata'ala". Demikian Warta Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat pada 25 Oktober 1995 memfa twakan ajaran tersebut.

Ajaran Tarekat yang dipimpin oleh Syeikh Mahmud al-Kedahi ini, seperti kebanyakan ajaran tarekat yang lain, mengandungi unsur taksub. Tarekat yang ditubuhkan pada awalnya di Batu 5, Sik, Kedah, telah berkembang ke Kg. Hangus, Kupang dan Kg. Kijang, Baling. Pada 25 April 1979, ajaran ini diharamkan di Negeri Kedah.

la berpindah pula ke Selangor iaitu di Surau Nurul Iman, Batu 12 3/4, Jalan Sungai Long , Hulu Langat. Tarekat ini juga dikenali dengan Tarekat Ahmadiah Qadiriah.

Menurut Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (2000), ciri-ciri kesalahan ajaran ini antaranya; pengikut dikehendaki membayangkan wajah guru ketika berzikir dan bersuluk. Semasa berpuasa dan bersuluk, pengikut tidak dibenarkan makan makanan yang berdarah, hanya minum seteguk air sahaja apabila dahaga. Semasa upacara berzikir, suara diangkat dan diselang-selikan dengan pukulan rotan untuk menyamakan rentak irama ratib. Kemuncak ratib ialah pengikut akan melompat tidak sedarkan diri. Beberapa perlakuan aneh berlaku. Ada yang menari, ada yang tertonggeng, terselak kain dan ada yang menangis. Mengikut Mahmud, itu menunjukkan pengikutnya banyak dosa. Para pengikut pula menyatakan, ketika itu mereka sampai ke kemuncak kelazatan.

Gurunya mendakwa menerima wahyu dari langit. Pengikut pula menganggap gurunya adalah imam Mahdi al-Muntazar. Oleh itu, para pengikut menganggap diri dan amalan mereka lebih suci dan tinggi martabatnya dari orang lain yang tidak mengikut ajaran tersebut.

Selanjutnya guru membuat dakwaan yang aneh-aneh seperti dia tidak siuman semasa hendak menerima ajaran ketika bertapa di gua Bukit Enggang dan beribadat di gua yang digali. Dianugerahkan Allah kepadanya kekuasaan untuk mengetahui yang mana hak dan yang mana batil tanpa belajar, serta Allah memperlihatkan kepadanya dunia yang penuh dosa.

Mohd Fakhruddeen Che Omar (2001), calon Sarjana Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, sempat mengadakan temubual dengan empat orang pengikut tarekat tersebut termasuk isteri keempat kepada wali mursyid Syeikh Mahmud yang dipanggil dengan gelaran 'Umi'. Beliau salah seorang guru di Sekolah Menengah Madrasah Nurul Iman, Sungai Long, Hulu Langat, Selangor. Menurut Umi, mursyid adalah mujaddid umat yang tidak ada apa-apa kepentingan diri dan ikhlas semata-mata kerana Allah.Tanggung jawab murid adalah patuh dan taat kepada guru.

Umi sebagai isteri dan sekali gus murid Haji Mahmud, mengutamakan kedudukan adab sebagai murid. Rasa hormat yang tinggi dan mendalam kepada suami, menjadikannya lebih berwaspada agar tidak melanggar adab. Harapannya, dapat mengecapi nikmat dan keistimewaan sebenar dalam dunia kesufian yang dilalui oleh suaminya yang tercinta. Matlamatnya untuk menghabiskan beberapa banyak selawat dalam satu hari dan sanggup mengqada'nya jika tidak sempat habis pada hari yang sama. Katanya, "Bila ada istiqamah barulah dapat memperolehi hikmah".

Menurut seorang lagi pengikut yang menetap di perkampungan tarekat itu; ... “seorang mursyid adalah merupakan pembimbing manusia berlandaskan al-Qur'an dan al-Sunnah yang menjadi contoh dan ikutan ramai". Katanya; "setiap mereka yang ingin mencari kemuliaan diri, adalah memerlukan seorang guru mursyid sebagai pembimbing. Mereka perlu memperbanyakkan selawat iaitu kira-kira 3000 selawat sehari".

Seorang guru di Madrasah Nurul Iman mengatakan; "... liku hidup yang mencabar ini perlu ditempuhi dengan keberkatan seorang guru yang mempunyai matahati... Murid pula perlu patuh terhadap sesuatu yang diarahkan oleh guru dalam bentuk memberi khidmat".

Sementara itu seorang lagi pengikut yang merupakan tukang masak di perkampungan tarekat itu, sentiasa berusaha mendisiplin diri, tidak melakukan perkara yang sia-sia. Sebagai murid yang taat, dia akan sentiasa melakukan apa sahaja yang disarankan oleh guru mursyid mengikut kemampuan yang ada. Antara yang disarankan kepada beliau ialah membaca ayat kursi tujuh kali pada setiap pagi dan petang. Berselawat pada tiap waktu sembahyang 40 saat, setiap hari 40 minit dan sebulan 40 jam. Beliau pernah bersuluk selama tiga hari tiga malam di mana para salik tidak tidur, tidak makan dan tidak minum. Bahkan duduk tekun beribadat, berselawat, berzikir mengikut syarat dan tertib tertentu. Beliau selanjutnya menceritakan pernah berpuasa selama 4 bulan sepuluh hari dengan berpantang tidak makan binatang atau makanan yang berdarah dan berminyak.

Kes Ketiga:

Ajaran Taborani di Kampung Pandan Satu, Kuantan, Pahang, mula dikenali pada tahun 1976. Ajaran ini dipelopori oleh Taborani bin Abdul Rani, yang berasal dari Slim River, Perak dan lahir dalam tahun 1947. Dia dikatakan mahir dalam perubatan tradisional, dan dihormati oleh mereka yang datang berubat dengannya. Dia juga merupakan seorang guru silat.

Guru silat dan pengamal perubatan ini pernah belajar di masjid dan surau. Dia pernah menjadi bilal masjid. Kemudian berpindah ke Kampung Awah, Temerloh dan bekerja sebagai ketua di sebuah kilang papan di Seberang Temerloh. Beliau juga berniaga dan bertukang. Guru silat kepada Taborani ialah Azid bin Mat Akil.

Dalam persilatan, Tabaroni mengajarkan ilmu batin dengan mengamalkan ayat-ayat al-Qur'an tertentu. Dia banyak mendapat ilmu melalui mimpi ketika tidur. Oleh itu banyak berlaku perkara ganjil dalam hidupnya. Antaranya, beliau pemah melompat sampai ke bumbung gelanggang silat ketika beliau beratib atau berzikir. Sebilah keris yang tidak tahu mana arah datangnya jatuh ke ribanya.

Pengajaran silat beliau dijalankan selepas Isya' sehingga 12.00 malam. Bermula dengan berjamaah Isya', selepas itu pelajar dikehendaki berkumpul di gelanggang untuk melakukan ratib selama hampir setengah jam. Amalan ratib adalah secara bersendirian, kemudiannya Taborani akan mengajar rentak silat. Sebelum ratib atau berzikir, Taborani akan memberi ayat-ayat tertentu yang perlu diingati oleh setiap pelajarnya. Pelajar akan mengamalkanya bersama amalan zikir dan doa. la dilakukan selama 40 hari. Hanya amalan zikir dan doa yang diajar pada peringkat pertama dan rentak silat belum diajarkan lagi.

Peringkat kedua bermula selepas amalan zikir 40 hari. Pelajar akan diminta beramal selama 40 hari lagi. Keadaan luar biasa akan terjadi kepada murid sehingga tidak sedarkan diri. Apabila tidak sedar diri, Taborani akan mengajarkan rentak silat. Anehnya, pelajar boleh mengikut segala rentak yang diajar.Selepas itu mereka akan berehat.

Pada tahap ketiga selepas amalan zikir dan seni silat diajar, Taborani akan menyampaikan ajaran agama. Setelah selesai 40 hari pengajaran akan berakhir dengan penamatan setelah lebih 120 hari melalui tiga peringkat. Setiap pelajar dikehendaki mempunyai sebilah pedang, duit sebanyak RM7.25 dan sehelai selendang merah untuk upacara penamatan. Pedang dibacakan doa oleh Taborani dan dikembalikan semula kepada muridnya.

Ajaran Taborani mendakwa, wahyu masih lagi diturunkan khasnya selepas zikir. Taborani pernah tidak mengajar silat kerana pada malam itu dikatakan wahyu tidak diturunkan kepadanya. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Taborani boleh mengajar rentak silat. Beliau pernah sewaktu tidak sedarkan diri seperti dirasuk dan menyebut nama Syeikh Suhaimi beberapa kali. Apabila sedar, beliau menanyakan muridnya kenapa tidak meminta sesuatu daripada Syeikh Suhaimi?

Beliau menolak empat mazhab yang ada. Katanya; "kita tidak mahu berpegang dengan empat mazhab, tetapi berpegang kepada satu mazhab iaitu ajaran Taborani. Orang Islam apabila meninggal dunia tidak wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Mayat hanya dianggap bangkai. Jika dibimbangi berbau busuk, ditimbuskan sahaja. Sementara itu salawat ke atas nabi sebagai bid'ah belaka dan dusta.

Beliau memfatwakan tidak haram minum arak jika tidak mabuk, kerana arak adalah diperbuat dari anggur yang halal. Arak dianggap sebagai pembina tenaga, solat tidak ada, samaada bersendirian atau berjamaah,malah tidak ada solat Jumaat. Puasa tidak wajib di bulan Ramadhan. Kalau berpuasa lapar sahaja. Al-Quran tidak betul kerana tulisan manusia. Tidak perlu disambut hari-hari kebesaran Islam. Anjing tidak haram, kerana ia tidak makan bangkai sebaliknya kucing haram kerana ia makan bangkai.

Beberapa sindiran menghina Islam pernah disebut seperti: azan seperti menyalak bukit. Kalau saya ada duit (kaya),saya akan keluar dari Islam. Ajaran ini telah didakwa salah dan sesat oleh Mahkamah Kadi Besar Pahang dan dibicarakan pada 16 Januari dan 20Januari 1991.

Kes Keempat

Tarekat Zikrullah Hasan Anak Rimau atau Tok Ayah Hasan atau Pak Teh Hasan. Mengikut kenyataan dari Hasan pada 24 Januari 1985 beliau mempercayai:

i. Kita ada tujuh alam: Alam Malakut, Alam Jabarut, Alam Arwah Alam Ghaib, Alam Jirim, Alam Zulumat dan Alam Lahut.

ii. Awal agama ialah mengenal Tuhan. Awal pun Dia, akhir pun Dia. Zahir pun Dia, Batin pun Dia. Kita manusia ini sebesar zarrah pun tak ada. Hampirnya kita dengan Tuhan seperti hampirnya kita dengan batang halqum, sama hampirnya mata hitam dengan mata putih bahkan lebih hampir lagi. Sesiapa yang kenal dirinya maka akan kenal Tuhannya. Cara hendak mengenal Tuhan ialah seseorang itu hendaklah mati sebelum matinya barulah dapat merasai mati tak mati. Hilangkan diri dan timbulkan diri maka itulah Dia (Tuhan). Jin dan manusia dijadikan tidak untuk lain melainkan kerana Tuhan.

iii. Jalan mengenal Tuhan menurut kaedah ini berlainan dengan jalan biasa. Menurut jalan biasa ialah mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa dan zakat dan itu jalan fardu 'Ain. Ada pun jalan satu lagi ialah jalan fardu kifayah.

iv. Pergi ke Mekah sunat sahaja. Orang berharta sekalipun tidak mengapa jika tidak ke Mekah tetapi jika dia mahu pergi dapat pahala.

v. Cahaya Hasan Anak Rimau mengatasi cahaya yang ada, menyebabkan dia tidak nampak Kaabah di hadapannya semasa di Mekah suatu ketika dahulu. Ini kerana cahaya tersebut tenggelam dalam cahayanya.

vi. Semasa mikraj ke langit Nabi Muhammad bukan berjumpa dengan Tuhan tetapi berjumpa dengan Jibril. Jibril itulah Tuhan. Manakala dakwaan Muhammad pergi berjumpa Tuhan adalah politik sahaja pada hal beliau duduk di rumah sahaja.

vii. Tuhan sebenarnya tidak ada. Diri kitalah Tuhan. Apabila kita mengenali diri kita, maka kenallah kita dengan Tuhan terus menerus.

viii. Mati tidak ada, cuma umpama membuka jalan sahaja. Demikian juga kiamat sebenarnya tidak ada.

ix. Hasan mendakwa sudah tidak tidur selama 36 tahun kerana beribadat dan sanggup berdebat dengan Nabi Muhammad sekiranya beliau ada untuk menguji siapakah yang lebih.

Setelah Hasan mati ajarannya dibawa oleh Ayah Pin, yang mempunyai empat orang isteri dan 21 orang anak. Dua orang lagi penyambung ajaran ini Mohammad bin Ya dan isterinya, Kamariah binti Ali. Keduanya berkelulusan Al-Azhar.

Dari empat kes contoh, dapat dibuat satu rumusan umum bahawa taksub dan fanatik akan berlaku apabila satu-satu tarekat atau didakwa sebagai tarekat, dipimpin oleh mereka yang berusaha mencari sesuatu kelebihan. Mereka bukanlah orang yang pandai, tetapi mempunyai sedikit sebanyak ilmu yang membolehkannya mengabui mata orang awam. Dengan ilmu yang sedikit tetapi pandai memberi pengajaran, mereka mengeksploitasi orang awam yang jahil dengan ilmu agama.

Kes pertama; ajaran ini agak rapat kaitannya dengan Naqsyabandiah di Indonesia. Sementara kes kedua, guru yang digelarkan dengan nama Syeikh Mahmud menamakan tarekatnya dengan Tarekat Ahmadiah Qadiriah. Tarekat ini menumpukan kepada ibadat berbentuk zikir, selawat dan istighfar khusus. la berpegang kepada Aurad Ismailiah.

Syeikh Mahmud mendakwa mula mengamalkan kehidupan kesufian sejak berumur enam tahun lagi iaitu mengikut amalan yang dipegang oleh datuknya. Datuk beliau mengamalkan Tarekat

Ahmadiah yang didakwanya diambil dari Tok Syafie di Mekah selama tiga tahun. Beliau mula mendekati wali-wali dan syeikh-syeikh terkenal kerana di rumah datuknya itu menjadi tempat berkumpulnya wali dan syeikh itu, termasuk dakwaannya Syeikh Abdul Qadir al-Mandili.

Ketika berusia tujuh tahun lagi, beliau ditalkinkan zikir oleh Rijal al-Ghaib. Setelah ditalkinkan, beliau mendakwa mampu membezakan orang yang ikhlas dan jujur atau tidak, semata-mata dengan melihat wajah seseorang itu. Ketika usianya sembilan tahun, melalui suara tertentu beliau mengenali orang-orang soleh serta wali Allah. Justeru meminati bidang kesufian, selepas tamat sekolah Melayu, beliau pindah ke sekolah pondok. Beliau menolak tawaran menjadi guru pelatih atas nasihat datuknya yang inginkan beliau menjadi orang yang kuat beragama.

Mula mengamalkan selawat Syeikh Abdul Qadir Jilani, selawat Ahmad Baidhawi dan selawat Tajalli. Selawat Tajalli di ambilnya semasa melawat ke rumah Tok Wali di Bukit Panau, Kelantan. Pada ketika itu tidak ramai yang mengamalkan selawat Tajalli termasuk di kalangan pelajar pondok sendiri. Mereka yang mengamalkannya dianggap mempunyai martabat yang tinggi di bidang kesufian.

Syeikh Mahmud menyambung pelajaran ke India, berguru dengan Sheikh Maulana Abu Bari dan mendapat latihan kerohanian. Beliau pulang ke Malaysia dan menghabiskan selawat sebanyak 5.6 juta dalam masa lima tahun. Selawat ini memberikan kepadanya kekuatan. Peristiwa 13 Mei 1969, beliau melihat berbagai perkara karamah dan ketika itu beliau beruzlah ke dalam hutan. Beliau mendakwa pada masa itulah, beliau mendapat guru dari jin yang mengajarkan beliau dengan berbagai jenis persilatan yang dinamakan silat lintar.

Di alam jin beliau bertemu dengan Syeikh Abdul Qadir Jawa, anak murid kepada Syeikh Abdul Qadir Jilani. Syeikh Abdul Qadir Jawa mengajarnya tentang alam kemegahan dan beliau menuntut ilmu dari syeikh itu sehingga terbuka hijab di antaranya dengan Allah. Beliau juga mendakwa bertemu dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani iaitu semasa beliau sakit sewaktu menjalani ibadat kerohanian dengan Syeikh Abdul Qadir Jawa.

Pada 12 Rabi'ul Awwal, tahun 1972, tarikh beliau mengambil Aurad dari Tok guru Haji Omar. Beliau rakamkan dalam ingatan beramal selama 40 hari. Sekembalinya dari Mekah pada tahun 1984, genaplah Syeikh Mahmud beramal selama 14 tahun. Ketika itulah beliau mendapat alamat daripada Allah, bahawa beliau kini mendapat gelaran Abdul Qadir setelah berusaha menjalani latihan kerohanian terakhir selama empat tahun. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memperkembangkan tarekat ke seluruh dunia, berpusat di Malaysia. Beliau lantas mengembangkan Tarekat Ahmadiah Qadiriah.

Hasil dari kepandaian menerapkan ajaran ini, Syeikh Mahmud dikatakan sudah membimbing pusat pengajian kesufian yang berada di seluruh Malaysia dan di luar negara. Madrasah Nurul Iman berada pada semua pusat pendidikan kesufian itu di Malaysia. Dakwaan juga mengatakan pusat pengajian ini ada juga di Mekah al-Mukarramah, di Kok Sira Narathiwat, Thailand, di Gujranwala, Pakistan, di Kayel Patnam, India dan di Damsyik, Syria.

Pusat Pengajian Hulu Langat mulanya berasal dari Pusat Pengajian Batu 12 Gombak. la berpindah ke Hulu Langat pada tahun 1986. Tanah seluas tiga ekar, telah diwakaf oleh Haji Zainudin bin Haji Yusof. Pada masa kajian dilakukan pada tahun 2001, terdapat 30 keluarga yang diam di situ dengan kira-kira 200 jemaah. Madrasah dua tingkat di situ mampu memuatkan 400 jemaah. Surau tersebut didirikan pada tahun 1994. Seramai tujuh orang Guru madrasah; tiga guru akademik dan empat orang guru agama yang mengajar anak-anak jamaah.

Syeikh Mahmud al-Kedahi ini berasal dari keturunan dua raja iaitu Raja Legeh di sebelah bapa dan keturunan Raja Laos, Sintok, Kedah. Mahmud dilahirkan di kampung Kepala Parit, Jalan Tokai, Alor Star, Kedah pada 8 Julai 1943 bersamaan dengan 27 Jamadil Akhir 1362H. Dibesarkan dibawah asuhan datuknya, Haji Ismail bin Haji Deris seorang ulama dari Pattani (Legeh) sehingga berusia 10 tahun, sewaktu datuknya meninggal dunia.

Syeikh Mahmud mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Simpang, sejak berusia lapan tahun. Kemudian menyambung ke Pasir Tumbuh selama dua tahun, mempelajari Nahu, Fekah dan Hadis. Selepas itu ke India pada awal 1967 iaitu di Deoband selama empat bulan. Justeru sukar memahami bahasa Urdu kerana dia lebih mahir bahasa Arab beliau berpindah ke Kolej Jamaliah di Madras 12, Perambor, India. Beliau mendalami bidang Usuluddin selama dua tahun sehingga mendapat syahadah.

Di sini beliau mendalami kesufian dibawah asuhan Maulana Abdul Bari. Maulana menggelarkannya dengan Abu Khair atas pendapatnya mengenai pelajar Thailand yang kurang disenangi perwatakan mereka. Pendapat beliau; orang beginilah yang patut kita asuh supaya mereka mendapat iman agar kemudiannya mereka menjadi contoh apabila pulang kelak. Gelaran Abu Khair telah mengangkat martabat syeikh sebagai yang berperibadi luhur.

Mungkin latar belakang, usaha, dakwaan dan interaksi beliau dengan mereka yang berada di sekelilingnya serta kepandaian berbicara, dapat menarik ramai pengikutnya. Hampir ada persamaan dengan Taborani di Pahang yang juga mempunyai tarikan tersendiri. Selain dari bentuk tubuh fizikal yang menarik, sasa dan kuat, beliau juga mempunyai rupa paras yang menarik. Kemahiran bersilat menjadi tarikan lagi dengan ilmu batin yang diajarkannya. Kemudian cerita mimpi kejadian yang ganjil-ganjil, kemahiran berubat dan sebagainya. Kesemuanya itu menjadi ramuan kenapa dia menjadi tumpuan orang awam.

Hasan anak Rimau juga yang dilahirkan di Kampung Bendang Pauh, Chetok, Pasir Mas, kemudian dibesarkan di Kampung Bukit Emas, Tanah Merah, Kelantan. Kemudiannya beliau menetap di Kampung Tenang, Jalan Keruwak, Hulu Besut, Terengganu dan meninggal dunia di situ. Walaupun tidak pernah mendapat pelajaran agama dari mana-mana pondok atau sekolah agama dan waktu mudanya terkenal pula sebagai orang jahat, namun mempunyai kemampuan sehingga berkembang ajarannya dari Bukit Mas, Tanah Merah ke Gong Datok, Pasir Puteh, Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kampung Beah, Bachok, Pasir Panjang, Merchang dan Felda Sungai Tong.

Ketaksuban ini berlaku dalam ajaran tarekat dan ajaran sesat. Di Kelantan sahaja tidak kurang dari 13 ajaran yang difatwakan salah. Apa yang penulis lihat, mereka menawarkan banyak perkara mudah dalam agama. Contohnya, Ajaran Wan Omar bin Wan Jusuh dari Kampung Bechah Durian, Wakaf Baharu, Tumpat berkembang di Gong Serapat, Pasir Puteh mengajarkan tidak payah niat ketika takbir sembahyang. Ajaran Abdul Mutalib bin Haji Ibrahim dari Pengkalan Kubor, Tumpat, sembahyang hanya tiga waktu sahaja. Puasa lima belas hari sahaja di bulan Muharram.

Ajaran Pak Teh Selamat dari Jelawat Bachok, mengatakan sembahyang sebenarnya menyebut Allah Muhammad. Zakat memberitahu atau bersyarah kepada orang ramai, puasa pula meninggalkan perkara jahat dan melakukan kebaikan.

Ajaran yang mudah disampaikan kepada mereka yang jahil dan tidak cukup asas agama. Kejahilan ini membuat orang menjadi buta hati yang sukar disembuhkan. Ada kenyataan menyebut dalam kes Mohamad Ya, meskipun beliau lepasan AI-Azhar beliau dikatakan telah diberi minum air oleh Ayah Pin dan kepalanya merasa pening. Selepas itu beliau dikatakan mengeluarkan kata-kata; 'bahawa semua kitab agama palsu belaka. Belajar dekat Mesir hanya dapat habuk sahaja. Justeru itu dia mendakwa semua yang dia belajar yang zahir sahaja.

Kesimpulan:

Terpesong Dari Kesederhanaan

Empat kes di atas dan banyak kes seperti itu adalah contoh umat Islam yang terpesong dari landasan sebenar. Bersesuaian dengan maksud ayat 153, Surah al-An'am:

Maksud: 'Dan ini jalanku yang lurus maka hendaklah kamu semua mengikutinya dan jangan kamu ikut jalan-jalan lain maka ia menyebabkan kamu berpecah belah'.

(Surah al-An'am:153)

Bahaya yang menimpa umat Islam sejak dahulu lagi apabila ketaksuban dan kefanatikan ini menjadi cara hidup mereka. la mencukur, bukan mencukur rambut tetapi mencukur (al-Haliqah) agama. Bacakan sahaja sejarah kejatuhan Baghdad, serangan Timurlank terhadap kerajaan Uthmaniah, kejatuhan Andalusia yang berperang sesama sendiri sehingga orang sanggup berperang dengan bapa saudara sepupu malahan adik beradik sendiri kerana merebut sedikit kekuasaan dan pengaruh. Bacakan pula bagaimana kejatuhan India dari kerajaan Islam kepada kerajaan yang beragama Hindu yang cukup amat menyayat hati.

Apa yang berlaku masakini mengulangi semula sejarah masa lampau mereka. Peranan tetap sama, hanya nama pelakonnya sahaja yang bertukar. Penerbitnya masih sama. Pentas juga sama. Cerita dan skrip juga tetap sama. Kalau ditanya siapakah yang menyebabkan umat Islam mundur? Ada yang menjawab; kuasa besar dunia. Ada pula yang menjawab Yahudi. Adakah itu benar? Memang musuh-musuh Islam sentiasa berpakat memerangi umat Islam, tetapi apa akan berlaku jika umat Islam semua bersatu dan berpadu. Apa yang boleh dilakukan oleh kuman-kuman kepada badan manusia yang sihat?

Penyakit besar umat Islam ialah tidak bersikap sederhana dan menjadi taksub dan fanatik. Itulah penyakit yang menyerupai kanser yang menghinggapi umat Islam. Kemudian ia dieksploitasi oleh pihak lain untuk memusnahkan kita. Ketaksuban telah menukar pemimpin dan guru menjadi berhala, mazhab pula bertukar menjadi agama. Soalnya.jika semua orang bercakap soal perpaduan siapakah yang memecahkan perpaduan? Jika semua orang bercakap tentang kesederhanaan siapakah pula yang melampau?

Diceritakan bahawa Abdullah Ibn al-Mubarak, seorang ulama hadis sedang mengajar di masjid. Dia berbicara tentang takutkan Allah dan muraqabah, sedang pendengar pula menangis kerana takutkan Allah. Apabila semua sudah selesai, dilihat mushaf yang dia baca dan tafsir itu hilang. Dia lantas berkata dalam keadaan yang menghairankan: "Anda semua menangis kerana takutkan Allah. Di masjid ini tiada lagi orang lain selain dari saya dan anda. Jadi siapa yang mencuri mushaf itu?".

Ringkas kata, setiap dari kita harus bermula dengan diri masing-masing. Islahkan minda dan hati. Minda yang sederhana dan hati yang bebas dari dosa dalaman. Kesederhanaan yang dimaksudkan adalah dari segi tasawwur dan suluk. Rawatan utama adalah mengenali hakikat Islam yang sebenarnya. Kemudian buangkan taksub mazhab. llmu mestilah diambil dari ulama yang berautoriti dan dengan cara yang beradab. llmu sahaja tidak cukup tetapi ia diikuti dengan adab munazarah, metod ilmiah dan akhlak ulama.

Jika Islam adalah berasaskan ilmu dan akhlak, maka mana-mana ajaran yang tidak tunduk kepada ilmu Islam dan akhlak Islam, bukan dari ajaran Islam. Penuntut ilmu agama sekarang memerlukan adab ulama dan akhlak ulama. Wasatiyyah itu adil, kesa-tuan itu rahmat, bersatu itu membawa banyak maslahah. Sementara syariat itu adil, rahmat dan membawa maslahah. Musuh Islam akan sentiasa menyusupkan pertentangan agar umat Islam tidak berada pada garis wasat itu. Mereka akan menolak umat ke tepi sama ada arah ghuluw, tatarruf sehingga kamu berperang sesama sendiri.

Ini tidaklah pula bermaksud segala polimik ilmu membawa kepada persengketaan seperti adanya mazhab dalam aliran berfikir. Ia adalah rahmat, memberi kemudahan, menutup pintu kesusahan dan ia menandakan fleksibalitinya syariah. Umar Ibn Abdul Aziz pernah berkata; "Aku tidak suka umat Islam tidak berbeza pendapat, kerana kalau hanya berpegang kepada satu pendapat sahaja, ia menjadi sempit. Kalau hanya berpegang kepada seseorang sahaja, ia menjadi sunnah orang itu".

Aliran Sederhana dan Pembaharuan

Bagi menghadapi sifat taksub dan fanatik ini, segala usaha dan tenaga hendaklah digembeling bagi meneguh dan mengembangkan aliran sederhana yang menjadi pegangan jumhur. Kaedah yang digunakan ialah taysir (memudahkan) dalam fatwa dan tabsyir (menggembirakan) dalam dakwah, seperti yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. kepada Abu Musa al-Asy'ari dan Muaz bin Jabal al-Ansari ketika keduanya diutuskan ke Yaman dengan bersabda:

Maksud: 'Permudahkan dan jangan mempersulitkan. Beri khabar gembira dan jangan meliarkan'.

Aliran sederhana akan membebaskan diri dari sikap taksub bermazhab yang melampau dan dapat menerima kaedah: Berubah fatwa dengan perubahan zaman dan tempat. Para ulama diberi kelonggaran untuk berijtihad mengikut zaman dan keadaan. Justeru ada kelonggaran dalam memberi hukum dalam mazhab, maka harus juga dibenarkan memberi perbezaan pendapat dalam politik. Bagi mengurangkan ketaksuban, maka saluran dialog hendaklah diperluaskan. Pertentangan akan terus berlaku antara mereka yang mengambil pendekatan kekerasan dengan mereka yang langsung mencuaikan amalan agama.

Ibn Taymiyyah umpamanya, telah membiarkan tentera Tartar melakukan kemungkaran minum arak, supaya mereka kekal mabuk dan tidak melakukan kemungkaran yang lebih besar iaitu membunuh dan merampas harta orang Islam. Inilah syarat yang tidak difahami oleh mereka yang mengaku berjihad dengan menggunakan kekerasan terhadap orang lain, hingga sanggup membunuh orang awam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak.

Penyelesaian Masalah

Sifat taksub dan fanatik adalah berpunca dari faktor pemikiran, kejiwaan, kemasyarakatan dan politik. Bagi mengubatnya juga memerlukan faktor yang sama dan bertitik tolak dari Islam dalam kontek yang bercorak keagamaan. Kontradiksi yang nyata hendaklah dihilangkan dari kehidupan mereka.

Golongan taksub dan fanatik hendaklah digauli dengan baik. Tidak harus menjadi hakim kepada mereka, tetapi cubalah membela. Hukuman tidak patut terlalu cepat dijatuhkan tanpa pembelaan diri. Tanpa mengenali dari dekat tetapi menghukum dari jauh. Gambaran yang keterlaluan hendaklah dielakkan kerana ia boleh menjadikan orang takut dan keliru dengan hakikat yang sebenar.

Setiap orang hendaklah memperbaiki diri sendiri. Masyarakat pula mesti mendekati agama dan mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah. Apabila setiap orang bertenang, lembut, bijaksana dan bersederhana, barulah boleh mengajak orang lain untuk bertenang, lembut, bijaksana dan bersederhana.

Peranan badan-badan agama adalah amat penting dalam menangani kes-kes ketaksuban ini. Segala tindakan hendaklah berdiri atas kebenaran semata-mata, tanpa dipengaruhi oleh pihak lain dalam membuat keputusan. Institusi agama hendaklah menjadi rujukan masyarakat dengan melahirkan generasi ulama yang ber-pengetahuan agama yang mendalam dan berfikiran yang tajam.

Sumber: Ebook JAKIM/ http://www.faziliaton.com/iqra'/buku6/index.php dan www.al-ahkam.net

Demo Pesilat Cekak di Perak


Sekitar Majlis Ijazah

Seni Tari Silat


Menghayati Al-Quran

Penggerak Seni Silat Cekak Hanafi Sandakan

Penggerak Seni Silat Cekak Hanafi Sandakan
Siapa mereka ? Tak usahlah ditanya siapa mereka. Andaikata hajat di hati sudah terpaut datanglah bertandang ke kelas untuk mengenal siapa mereka. Mereka hanyalah manusia biasa tidak punyai apa-apa. Berjuang untuk satu matlamat. Apakah matlamat perjuangan tersebut maka jawapannya ada pada mereka... Hubungilah mereka...

Renungan Bersama