"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

Ustaz Hanafi

Perlantikan Marwi TIDAK SAH


Rakaman Penyerahan Mandat Guru Utama antara Pak Ak dengan Md Radzi


Makan Malam Bersama Guru Utama


Ahad, 9 Disember 2007

Merealisasikan konsep ‘tawasau bilhaq’

Ulul Albab:
Oleh Abdurrahman Haqqi

Masyarakat Islam seluruh dunia kena bersatu, saling berpesan pertingkat kebajikan ummah

SEPERTI dinyatakan Imam al-Tabrani bahawa Ubaidullah bin Hafs berkata:

“(Adalah menjadi amalan) Apabila dua sahabat Rasulullah SAW saling berjumpa, mereka tidak akan berpisah kecuali selepas masing-masing membaca surah al-`Asr kemudian mereka saling memberi salam.”

Imam al-Shafie juga pernah berkata:

Seandainya manusia memerhati dengan saksama (tadabbur) apa yang ada dalam surah ini (al-’Asr) maka ia sudah memadai untuk menjadi panduan hidup mereka supaya hidup selamat dan bahagia.” (Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, III/674)

Itulah satu daripada beberapa fadilat surah al-`Asr yang bermakna `Masa’ bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (1-3)

Imam Shafie benar dan sangat tepat merangkumkan surah ini dengan sifat yang demikian kerana kerugian manusia hanya boleh diubati dengan empat perkara dalam surah berkenaan iaitu iman, amal salih, saling berpesan dalam kebenaran dan kesabaran.

Satu pertanyaan, sebelum melanjutkan tulisan ini, yang boleh diketengahkan sempena riwayat al-Tabrani di atas adalah:

Adakah sahabat Baginda melakukan suatu bidaah dengan membaca surah al-`Asr ketika mereka akan berpisah?”

Bidaah membaca surah al-`Asr selepas mengadakan sesuatu majlis perjumpaan seperti mesyuarat dan pengajian yang biasa umat Islam di rantau ini pernah berlaku kepada penulis. Ketika itu beberapa sahabat dari negara Teluk menegur penulis kerana mengakhiri sesi mesyuarat dengan membaca surah al-’Asr seperti yang lazim kita lakukan dan mereka tidak lakukan di sana.

Tidakkah lebih baik membaca tasbih kaffarah al-majlis sebagai sunnah daripada membaca surah berkenaan,” kata mereka.

Menurut pandangan atau pendapat mereka, perbuatan itu adalah bidaah yang tidak pernah dilakukan Nabi. Penulis mendengarkan saja pandangan itu kerana memaklumi bahawa perbezaan pendapat dalam Islam adalah dibenarkan dan sehingga kini penulis tetap membaca surah al-’Asr apabila mengakhiri sesuatu majlis. Mereka ingin mempromosi pandangan mereka dengan menidakkan pandangan orang lain. Bukankah ini juga suatu bidaah, bahkan satu penyelewengan ajaran agama Islam yang suci, penuh kedamaian, saling menghormati dan bertimbang rasa, serta tidak memaksa kehendak sesuatu pendapat dalam arena ijtihad?

Kita kembali kepada surah al’-Asr khasnya syarat nombor tiga yakni ‘tawasau bilhaq’ jika kita ingin tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi. Saling berpesan dalam kebenaran ini tergambar dalam keberadaan umat Islam dengan bentuk khas, ikatannya yang istimewa, dan arahnya sama. Umat yang berasakan keberadaannya seperti mereka berasakan kewajipannya, mengerti hakikat sesuatu yang harus diutamakan, yang bersumber daripada iman dan amal salih, yang meliputi masalah kepemimpinan manusia pada jalan iman dan amal salih, kemudian saling menasihati dengan nasihat yang dapat membangkitkan semangatnya untuk memegang amanah terbesar.

Daripada perkataan `tawasi’, saling berpesan menerusi makna, tabiat, dan hakikatnya, menggambarkan umat yang harmoni dan saling bertanggungjawab. Umat pilihan, umat yang baik, umat yang penuh pengertian, umat yang bermutu di muka bumi dengan berpegang dan menegakkan kebenaran, keadilan dan kebaikan. Ia adalah gambaran paling tinggi dan paling indah bagi umat pilihan. Demikianlah yang dikehendaki Allah daripada umat Islam. Ia menghendaki umat Islam sebagai umat terbaik, kuat, penuh pengertian, cekap, sensitif terhadap kebenaran dan kebaikan dan saling menasihati untuk mentaati kebenaran, yang dilakukan dengan penuh kasih sayang, penuh solidariti, tolong-menolong dan penuh rasa persaudaraan, yang selalu disiram dengan kata ‘tawasi’ dalam al-Quran.

Ajaran ‘tawasau bilhaq’ yang ditekankan al-Quran ini diingatkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada awal minggu ini. Ketika memberi ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Deklarasi Makkah Isnin lalu, beliau berkata: ”Banyak deklarasi serius sebegini menjadi lapuk dalam lipatan sejarah kerana semangat untuk melaksanakannya lemah dan langkah susulan semakin mengendur… Deklarasi Makkah tidak patut menemui nasib yang sama.”

Perdana Menteri berkata demikian kerana memandangkan selepas hampir 20 bulan penerimaan Deklarasi Makkah pada Disember 2005, negara Islam masih tidak dapat bergerak melepasi peringkat persediaan perancangan dan penyelarasan.

Pada 7 hingga 8 Disember 2005, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang Malaysia menjadi Pengerusinya mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC kali ketiga di al-Safa Palace, di tepi Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi.

Pada sesi penutupan sidang kemuncak luar biasa itu, Setiausaha Agung OIC, Profesor Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, Deklarasi Makkah yang diluluskan pemimpin Islam itu antara lain menyentuh cadangan memperkenalkan undang-undang antikeganasan di negara Islam dan menghapuskan Islamofobia (ketakutan terhadap umat Islam). Ia juga menyentuh soal pendidikan; pengeluaran fatwa; isu Palestin dan Baitulmaqdis; meningkatkan imej Islam; mengukuhkan perpaduan dan kesatuan; keganasan dan kekerasan di Iraq; isu pergolakan dan kekejaman di Kashmir, Somalia, Armenia dan Azerbaijan serta Cyprus dan Turki; selain menghapuskan kemiskinan, penyakit dan buta huruf.

Turut diluluskan ialah cadangan penubuhan badan bebas untuk membantu negara anggota merealisasikan agenda hak asasi manusia di negara Islam. Pada sidang kemuncak itu, Turki turut mencadangkan supaya diadakan persidangan mengenai wanita yang sering menjadi isu di kalangan negara Islam. Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu dirasmikan penutupannya oleh Raja Abdullah Abdul Aziz.

Pada forum tiga hari bertemakan Melaksanakan Agenda Ekonomi Dunia Islam yang dianjurkan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan dihadiri kira-kira 84 cendekiawan Islam dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat dan United Kingdom itu, Perdana Menteri mencadangkan lima perkara asas iaitu mengekalkan semangat politik secara kolektif; memulakan pembaharuan dalam fikiran dan hati; mengiktiraf kepentingan pembangunan modal insan; memperuntukkan sumber yang diperlukan; serta menggerakkan komuniti antarabangsa dan bekerjasama dengannya bagi meningkatkan kebajikan ummah. “Sudah tiba masanya negara anggota OIC memainkan peranan aktif mereka dan terus komited dalam jangka panjang,” tegasnya.

Seorang pemikir dan pendakwah Islam terbilang masa kini dan adalah satu-satunya Muslim bukan-Arab yang menganggotai akademi Bahasa Arab berprestij di Syria serta penulis buku Maza Khasira al-’Alam bi Inkhitat al-Muslimin (Apa yang dirugikan dunia dengan kemunduran umat Islam), Abul Hasan an-Nadawi berkata, “Kaum muslimin sudah lahir dan memimpin dunia serta melepaskan bangsa yang tertipu daripada kepemimpinan manusia yang mengeskploitasi dan bertindak buruk terhadapnya, dan mereka memandu manusia untuk menempuh jalan kehidupan dengan cepat, seimbang dan adil.”

Banyak sifat yang mereka miliki yang menjadikan mereka layak memimpin bangsa ini serta dapat menjamin kebahagiaan dan keberuntungan mereka di bawah naungannya dan di bawah kepemimpinannya :

  • Pertama, mereka memiliki kitab dan syariat yang diturunkan dari Tuhan. Maka mereka tidak membuat undang-undang dan syariat berdasarkan keinginan hawa nafsu, kerana nafsu itu adalah sumber kejahilan, kekeliruan dan kezaliman.
  • Kedua, mereka tidak mengendalikan pemerintahan dan kepemimpinan tanpa pendidikan akhlak dan membersihkan jiwanya.
  • Ketiga, mereka bukan pelayan suku tertentu dan bukan utusan bangsa atau negeri tertentu, yang mengusahakan kemakmuran dan memenuhi kepentingannya saja dan bukan hanya untuk mengamankan kelebihan dan keunggulannya atas bangsa dan negara lain. Mereka hanya ditugaskan untuk membebaskan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah.
  • Keempat, tidak akan dijumpai tamadun yang baik dan salih, kecuali bila dibimbing oleh keseimbangan beragama, moral, fikiran dengan fisik, yang dengannya manusia dapat dengan mudah mencapai kesempurnaan kemanusiaannya.”

Perdana Menteri pada forum yang sama membayangkan kembali umat Islam supaya menjadi seperti yang disebutkan An-Nadawai yang menyeru negara anggota OIC memperkukuhkan hubungan dan mengetepikan perbezaan antara mereka serta bersatu dalam bidang intelektual dan ekonomi.

Selepas beratus-ratus tahun berhadapan dengan kemunduran, umat Islam perlu bersedia untuk melaksanakan usaha luar biasa dalam meningkatkan kesejahteraan ummah,” katanya.

Seruan demi seruan dikumandangkan dalam pelbagai perhimpunan demi maruah umat. Gesaan demi gesaan dibuat dalam setiap persidangan demi memartabat semula umat. Doa demi doa dipanjatkan dalam setiap kesempatan demi keselamatan umat. Tetapi, belum satu pun hasil yang nampak dengan jelas oleh kita. Maka, demi mengamalkan konsep ‘tawasau bilhaq’ mungkinkah kita masih termasuk dalam golongan yang disebutkan Baginda Rasulullah SAW maksudnya:

Hampir tiba suatu masa di mana bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati“. (Hadis riwayat Abu Daud)

La haula wala quwwata illa billah.

Demo Pesilat Cekak di Perak


Sekitar Majlis Ijazah

Seni Tari Silat


Menghayati Al-Quran

Penggerak Seni Silat Cekak Hanafi Sandakan

Penggerak Seni Silat Cekak Hanafi Sandakan
Siapa mereka ? Tak usahlah ditanya siapa mereka. Andaikata hajat di hati sudah terpaut datanglah bertandang ke kelas untuk mengenal siapa mereka. Mereka hanyalah manusia biasa tidak punyai apa-apa. Berjuang untuk satu matlamat. Apakah matlamat perjuangan tersebut maka jawapannya ada pada mereka... Hubungilah mereka...

Renungan Bersama